TRANSFORMASI ILMU (part 3) - MEMBINA PSIKOLOGI DAN FIKRAH KENABIAN



Amalan membina fikrah sebenarnya telah bermula sejak pengutusan para nabi dan Rasul. Mereka mengajak manusia mengesakan Allah dan menyembahNya. Penyampaian risalah yang membina fikrah manusia telah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sepanjang 23 tahun, yang mana satu demi satu ayat Al-Quran dan hadis telah disampaikan oleh baginda kepada umat manusia. Rasul berjaya mengatasi kecelaruan akidah dan pemikiran yang berlaku pada zaman jahiliyah dan mengembalikan mereka kepada akidah yang satu.

Inilah fikrah kenabian yang dituntut oleh para daie untuk mencarinya. Pada diri nabi rasa bertuhan yang sangat tinggi, ketakwaan dan keyakinan kepada Allah mengatasi keyakinan kepada yang lain. Kita tidak boleh atau mustahil untuk menjadi nabi kerana darjatnya berbeza dengan darjat manusia biasa, akan tetapi kita dapat mencari norma-norma kehidupan yang dijalani oleh para nabi seperti rendah hati, tawaduk, zuhud, bertaqwa, sabar, ikhlas, mencintai kebaikan, mencintai ilmu, soleh dan sebagainya.

Mengapa perlu fikrah kenabian?

Antara sebab mengapa perlunya seseorang muslim atau daie itu berfikir seperti nabi ialah kerana kita dituntut mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh cintaNya. Tidak ada cara lain untuk mendekatkan diri kepada Allah selain ‘bertawasul’ atau berwasilahkan jalan ketaqwaan yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah: Katakanlah sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah aku (Nabi Muhammad) nescaya kamu dicintai Allah. Cinta Allah adalah segala-galanya di dunia. Orang yang dicintai Allah sentiasa dekat dan sayang kepada Nya. Orang yang dicintai Allah, dosanya sentiasa diampunkan apabila dipohon.

Kedua, fikrah kenabian menyelamatkan kita dari berbuat dosa.

Ketiga, fikrah kenabian membawa kepada perpaduan dan kesejahteraan hidup.

Keempat, fikrah kenabian  menyelamatkan kita dari kesesatan.

Kelima, fikrah kenabian meningkatkan darjat ketaqwaan, bukan mengasingkan kita dari manusia biasa tetapi digolongkan bersama-sama orang yang beriman dan bertaqwa.

Keenam, fikrah kenabian melayakkan kita untuk mendapat keredhaan dan syurga. Apabila kita  sentiasa berfikir mengenai agama Allah, kita akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan rohani supaya iman sentiasa tebal dalam diri dan mengelakkan diri dari melakukan maksiat.

Ketujuh, fikrah kenabian adalah ciri-ciri manusia yang mempunyai hikmah kebijaksanaan. Luqmanul Hakim adalah seorang yang bijaksana walaupun beliau bukan Nabi sehingga nama dan untaian nasihatnya terukir di dalam Al-Quran. Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta para sahabat salafussoleh adalah orang yang bijaksana kerana mempunyai fikrah kenabian ini. Fikir mereka tidak lain ialah untuk mengembangkan Islam dan mendaulatkannya, melebihi kepentingan duniawi.

Kelapan, fikrah kenabian mencerminkan akhlak yang terpuji, mendidik diri untuk sentiasa jujur dan dipercayai. Nabi Muhammad saw dikenali sebagai Al-Amin atau orang yang jujur, amanah dan dipercayai oleh masyarakat Arab. Kerana ketinggian akalbudinya maka baginda telah dilantik sebagai jurudamai dan peniaga yang berjaya.

Kesembilan, fikrah kenabian adalah sumber ilmu yang suci. Allah menganugerahkan fikrah kenabian kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga kepada sesiapa yang berusaha ke arah mensucikan diri.

Kesepuluh, fikrah kenabian adalah permata akhir zaman. Sesiapa yang berfikir atas dasar keimanan dan ketaqwaan, maka Allah menunjukkan dia kepada jalan yang lurus. Kesibukan dunia tidak menghalang dia dari mengingati Allah dan Allah sentiasa ingat kepadanya.

Bagaimana memperoleh fikrah kenabian?

Pertama, sentiasa berfikir mengenai kebesaran Allah pada makhluk, alam dan kejadian diri.
Kedua, bermohon kepada Allah agar Allah memberikan taufik dan hidayah.
Ketiga, sentiasa berzikir mengingati Allah setiap waktu dan ketika.
Keempat, mengutamakan pembacaan Al-Quran dan hadis Nabi saw serta mengambil tauladan dan pengajaran dari pembacaan Al-Quran dan hadis.
Kelima, membaca buku-buku yang membina fikrah, psikologi dan sejarah.
Keenam, terapikan diri dengan solat dan ibadah, serta istiqomah dalam melakukannya.
Ketujuh, mengasingkan diri dari berfikir mengenai keburukan orang lain dan sentiasa memikirkan mengenai kebaikan.
Dan lain-lain...

Oleh itu, adalah digalakkan kepada kita untuk mencari jalan untuk membina fikrah kenabian dalam diri sebab nabi tidak meninggalkan harta kepada kita, kecuali ilmu dan fikrah yang benar untuk keselamatan dan kebaikan di dunia dan akhirat. Berdoalah kepada Allah agar kita sentiasa mendapat rahmat, keampunan dan kebahagiaan sebagaimana rahmat keampunan dan kebahagiaan yang dianugerahkan kepada para anbiya dan solehin. Amin..


TRANSFORMASI ILMU (part 2) - PEMBINAAN FIKRAH ASAS PERPADUAN



Tak ramai yang memperkatakan mengenai pembinaan fikrah sebagai asas perpaduan. Pembinaan fikrah sinonim dengan pembinaan mental, minda atau pemikiran. Antara individu atau golongan yang memperkatakan mengenai kepentingan pembinaan fikrah ialah Allamah Muhammad Iqbal (Reconstruction of Thought) dan Imam Hasan Al-Banna (pertubuhan Ikhwanul Muslimin) di Mesir pada tahun 1920-an, iaitu ketika kejatuhan empayar atau khilafah Islamiyah di Turki. 

Amalan membina fikrah sebenarnya telah bermula sejak pengutusan para nabi dan Rasul. Mereka mengajak manusia mengesakan Allah dan menyembahNya. Penyampaian risalah yang membina fikrah manusia telah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sepanjang 23 tahun, yang mana satu demi satu ayat Al-Quran dan hadis telah disampaikan oleh baginda kepada umat manusia. Rasul berjaya mengatasi kecelaruan akidah dan pemikiran yang berlaku pada zaman jahiliyah dan mengembalikan mereka kepada akidah yang satu. Penjelasan terhadap risalah itu pula telah disampaikan oleh para sahabat r.a. setelah ketiadaan baginda. Islam telah berkembang ke serata dunia hasil kesungguhan para ulama dan ilmuan Islam serta para mujaddid.
Perkembangan dunia Islam sebelum itu menekankan kepada pembinaan tamadun dan fikrah ilmu sejak dari kemunculan Islam di Madinah, Baghdad (Iraq), Andalus (Sepanyol) dan Constantinople (Turki).  Legasi atau tinggalan tamadun itu masih ada dan kelihatan sehingga kini pada binaan dan tulisan.

Antara penyebab pudarnya kegemilangan Islam pada masa kini ialah jatuhnya ketamadunan ilmu dan peradaban. Islam sangat menitikberatkan soal penuntutan ilmu pengetahuan di kalangan umat untuk kebaikan duniawi dan ukhrawi. Sabda Nabi saw: Sesiapa yang mahukan dunia maka (tuntutlah) ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat maka (tuntutlah) ilmu, dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya maka hendaklah dengan (menuntut) ilmu. Kefahaman yang jelas terhadap hadis ini dan juga hadis atau nas al-Quran yang lain mengenai kepentingan ilmu menyebabkan umat begitu dahagakan ilmu pengetahuan. Hasilnya umat menjadi sangat maju dan berjaya membina ketamadunan berasaskan ilmu pengetahuan. Tamadun barat juga di katakan berkembang kerana mendapat manfaat daripada ilmu yang diasaskan oleh ilmuan Islam. Ilmulah yang membina fikrah ummah pada ketika itu. Mereka juga bersatu atas dasar kecerdikan ilmu dan hikmah.
Pembinaan fikrah adalah sangat penting untuk membina perpaduan di kalangan umat. Fikrah yang terbina atas asas islam dan ilmu dapat mencorakkan perpaduan di kalangan umat islam yang berpecah belah sejak kewafatan Nabi saw. Selepas wafat Nabi Muhammad saw (selaku murabbi agung), orang-orang islam mula berpecah, bermula dari pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Ramai yang tidak bersetuju dan menubuhkan kumpulan menentang pelantikan tersebut dengan mengatakan Saidina Ali lebih layak. Sejak dari itu muncul kumpulan Syiah dan pecahannya.

Selepas daripada itu muncul pelbagai kumpulan yang mengaku memperjuangkan akidah Islam seperti Jabariah, Qodariah, Muktazilah, jahmiyah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tidak ketinggalan kemunculan pelbagai fahaman moden baharu berteraskan falsafah seperti bahai, Wahdatul Wujud, ateis dan sebagainya. Hari ini wujud pula pelbagai cabang pemikiran seperti humanisme, nasionalisme, komunisme, liberalisme dan pluralisme.

Sebab utama yang membiakkan pelbagai fikrah dan fahaman tersebut ialah penggunaan akal yang terbatas mengatasi penggunaan wahyu ilahi. Oleh sebab itu pembinaan fikrah berdasarkan wahyu ilahi sangat penting untuk mengembalikan semula perpaduan di kalangan umat Islam. Fikrah menggunakan logik akal fikiran (al-Wa’yu) tidak pula menyalahi asas fikratul Islam yang telah thabit (tetap) seperti Maqosid Syarak, mazhab (feqh), akidah dan akhlaq.

Para ulama (aktivis ilmu) perlu mengenengahkan keperluan pembinaan fikrah samada yang bersifat lokal atau global berdasarkan ajaran Islam. Pada hari ini, suasana persekitaran seperti globalisasi dan dasar langit terbuka telah menyebabkan agama Islam diserang oleh pelbagai anasir buruk yang dahulunya di anggap sebagai perbezaan pendapat biasa, atas alasan kebebasan berfikir dan hak, mencetuskan Islamofobia dengan menuduh Islam menggalakkan keganasan, seks dan penghinaan terhadap nabi melalui penerbitan filem dan percetakan. Ramai orang yang tidak mengetahui kebenaran telah terpengaruh dan terpedaya untuk menentang Islam. Oleh itu pembinaan fikrah yang benar sangat penting agar mereka dapat mengetahui kebenaran dan tidak terpedaya atau terpengaruh dengan anasir-anasir buruk.  

Asas pembinaan fikrah yang pertama ialah kefahaman. Ia bermula dari pendidikan asas, fardu ain dan fardu kifayah. Kefahaman yang jelas juga mesti berpaksikan Al-Quran, as-sunnah, ijmak ulama dan qiyas (sumber Islam yang autentik) yang telah thabit sejak zaman-berzaman. Perbezaan pendapat yang berasal dari kepelbagaian pemikiran sebenarnya tidaklah menghalang perpaduan, jika matlamatnya sama. Jika perbezaan pendapat itu melarat membawa kepada kecelaruan akidah dan perpecahan, maka Islam menyarankan kita kembali kepada Allah dan Rasul. Firman Allah: Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan Rasul. 

Kefahaman itu disusuli pula oleh gerakerja, tindakan dan amalan yang juga berpaksikan sumber Islam yang autentik itu. Allah juga menyarankan kepada kita supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam sepertimana firman Allah yang berbunyi: (Dan berpegangteguhlah kamu kepada tali Allah kesemuanya dan jangan berpecah belah);

Kesimpulannya, adalah signifikan sekali gerakerja yang bermula daripada pembinaan fikrah, kerana fikrah yang terbina itu membawa kepada perpaduan yang kita cita-citakan.

~KE ARAH KEAMANAN DAN KESELAMATAN SEJAGAT