Amalan membina fikrah sebenarnya telah bermula sejak
pengutusan para nabi dan Rasul. Mereka mengajak manusia mengesakan Allah dan menyembahNya.
Penyampaian risalah yang membina fikrah manusia telah dilakukan oleh Nabi
Muhammad saw sepanjang 23 tahun, yang mana satu demi satu ayat Al-Quran dan
hadis telah disampaikan oleh baginda kepada umat manusia. Rasul berjaya
mengatasi kecelaruan akidah dan pemikiran yang berlaku pada zaman jahiliyah dan
mengembalikan mereka kepada akidah yang satu.
Inilah fikrah kenabian yang dituntut oleh para daie untuk
mencarinya. Pada diri nabi rasa bertuhan yang sangat tinggi, ketakwaan dan
keyakinan kepada Allah mengatasi keyakinan kepada yang lain. Kita tidak boleh
atau mustahil untuk menjadi nabi kerana darjatnya berbeza dengan darjat manusia
biasa, akan tetapi kita dapat mencari norma-norma kehidupan yang dijalani oleh
para nabi seperti rendah hati, tawaduk, zuhud, bertaqwa, sabar, ikhlas,
mencintai kebaikan, mencintai ilmu, soleh dan sebagainya.
Mengapa perlu fikrah kenabian?
Antara sebab mengapa perlunya seseorang muslim atau daie itu
berfikir seperti nabi ialah kerana kita dituntut mendekatkan diri kepada Allah
dan memperoleh cintaNya. Tidak ada cara lain untuk mendekatkan diri kepada
Allah selain ‘bertawasul’ atau berwasilahkan jalan ketaqwaan yang ditunjukkan
oleh para nabi dan rasul. Firman Allah: Katakanlah sekiranya kamu mencintai
Allah maka ikutilah aku (Nabi Muhammad) nescaya kamu dicintai Allah. Cinta
Allah adalah segala-galanya di dunia. Orang yang dicintai Allah sentiasa dekat
dan sayang kepada Nya. Orang yang dicintai Allah, dosanya sentiasa diampunkan
apabila dipohon.
Kedua, fikrah kenabian menyelamatkan kita dari berbuat dosa.
Ketiga, fikrah kenabian membawa kepada perpaduan dan kesejahteraan hidup.
Keempat, fikrah kenabian menyelamatkan kita dari kesesatan.
Kelima, fikrah kenabian meningkatkan darjat ketaqwaan, bukan
mengasingkan kita dari manusia biasa tetapi digolongkan bersama-sama orang yang
beriman dan bertaqwa.
Keenam, fikrah kenabian melayakkan kita untuk mendapat
keredhaan dan syurga. Apabila kita sentiasa berfikir mengenai agama Allah, kita
akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan rohani supaya iman sentiasa
tebal dalam diri dan mengelakkan diri dari melakukan maksiat.
Ketujuh, fikrah kenabian adalah ciri-ciri manusia yang
mempunyai hikmah kebijaksanaan. Luqmanul Hakim adalah seorang yang bijaksana
walaupun beliau bukan Nabi sehingga nama dan untaian nasihatnya terukir di
dalam Al-Quran. Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta para sahabat salafussoleh
adalah orang yang bijaksana kerana mempunyai fikrah kenabian ini. Fikir mereka
tidak lain ialah untuk mengembangkan Islam dan mendaulatkannya, melebihi
kepentingan duniawi.
Kelapan, fikrah kenabian mencerminkan akhlak yang terpuji, mendidik
diri untuk sentiasa jujur dan dipercayai. Nabi Muhammad saw dikenali sebagai
Al-Amin atau orang yang jujur, amanah dan dipercayai oleh masyarakat Arab.
Kerana ketinggian akalbudinya maka baginda telah dilantik sebagai jurudamai dan
peniaga yang berjaya.
Kesembilan, fikrah kenabian adalah sumber ilmu yang suci.
Allah menganugerahkan fikrah kenabian kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan
juga kepada sesiapa yang berusaha ke arah mensucikan diri.
Kesepuluh, fikrah kenabian adalah permata akhir zaman.
Sesiapa yang berfikir atas dasar keimanan dan ketaqwaan, maka Allah menunjukkan
dia kepada jalan yang lurus. Kesibukan dunia tidak menghalang dia dari
mengingati Allah dan Allah sentiasa ingat kepadanya.
Bagaimana memperoleh fikrah kenabian?
Pertama, sentiasa berfikir mengenai kebesaran Allah pada
makhluk, alam dan kejadian diri.
Kedua, bermohon kepada Allah agar Allah memberikan taufik
dan hidayah.
Ketiga, sentiasa berzikir mengingati Allah setiap waktu dan
ketika.
Keempat, mengutamakan pembacaan Al-Quran dan hadis Nabi saw
serta mengambil tauladan dan pengajaran dari pembacaan Al-Quran dan hadis.
Kelima, membaca buku-buku yang membina fikrah, psikologi dan
sejarah.
Keenam, terapikan diri dengan solat dan ibadah, serta
istiqomah dalam melakukannya.
Ketujuh, mengasingkan diri dari berfikir mengenai keburukan
orang lain dan sentiasa memikirkan mengenai kebaikan.
Dan lain-lain...
Oleh itu, adalah digalakkan kepada kita untuk mencari jalan
untuk membina fikrah kenabian dalam diri sebab nabi tidak meninggalkan harta
kepada kita, kecuali ilmu dan fikrah yang benar untuk keselamatan dan kebaikan di
dunia dan akhirat. Berdoalah kepada Allah agar kita sentiasa mendapat rahmat, keampunan dan kebahagiaan sebagaimana rahmat keampunan dan kebahagiaan yang dianugerahkan kepada para
anbiya dan solehin. Amin..