Tak ramai yang memperkatakan mengenai pembinaan fikrah
sebagai asas perpaduan. Pembinaan fikrah sinonim dengan pembinaan mental, minda
atau pemikiran. Antara individu atau golongan yang memperkatakan mengenai
kepentingan pembinaan fikrah ialah Allamah Muhammad Iqbal (Reconstruction of
Thought) dan Imam Hasan Al-Banna (pertubuhan Ikhwanul Muslimin) di Mesir pada
tahun 1920-an, iaitu ketika kejatuhan empayar atau khilafah Islamiyah di Turki.
Amalan membina fikrah sebenarnya telah bermula sejak
pengutusan para nabi dan Rasul. Mereka mengajak manusia mengesakan Allah dan menyembahNya.
Penyampaian risalah yang membina fikrah manusia telah dilakukan oleh Nabi
Muhammad saw sepanjang 23 tahun, yang mana satu demi satu ayat Al-Quran dan hadis
telah disampaikan oleh baginda kepada umat manusia. Rasul berjaya mengatasi
kecelaruan akidah dan pemikiran yang berlaku pada zaman jahiliyah dan
mengembalikan mereka kepada akidah yang satu. Penjelasan terhadap risalah itu
pula telah disampaikan oleh para sahabat r.a. setelah ketiadaan baginda. Islam
telah berkembang ke serata dunia hasil kesungguhan para ulama dan ilmuan Islam
serta para mujaddid.
Perkembangan dunia Islam sebelum itu menekankan kepada
pembinaan tamadun dan fikrah ilmu sejak dari kemunculan Islam di Madinah,
Baghdad (Iraq), Andalus (Sepanyol) dan Constantinople (Turki). Legasi atau tinggalan tamadun itu masih ada
dan kelihatan sehingga kini pada binaan dan tulisan.
Antara penyebab pudarnya kegemilangan Islam pada masa kini ialah
jatuhnya ketamadunan ilmu dan peradaban. Islam sangat menitikberatkan soal
penuntutan ilmu pengetahuan di kalangan umat untuk kebaikan duniawi dan
ukhrawi. Sabda Nabi saw: Sesiapa yang mahukan dunia maka (tuntutlah) ilmu,
sesiapa yang mahukan akhirat maka (tuntutlah) ilmu, dan sesiapa yang mahukan
kedua-duanya maka hendaklah dengan (menuntut) ilmu. Kefahaman yang jelas
terhadap hadis ini dan juga hadis atau nas al-Quran yang lain mengenai
kepentingan ilmu menyebabkan umat begitu dahagakan ilmu pengetahuan. Hasilnya
umat menjadi sangat maju dan berjaya membina ketamadunan berasaskan ilmu
pengetahuan. Tamadun barat juga di katakan berkembang kerana mendapat manfaat
daripada ilmu yang diasaskan oleh ilmuan Islam. Ilmulah yang membina fikrah ummah
pada ketika itu. Mereka juga bersatu atas dasar kecerdikan ilmu dan hikmah.
Pembinaan fikrah adalah sangat penting untuk membina
perpaduan di kalangan umat. Fikrah yang terbina atas asas islam dan ilmu dapat
mencorakkan perpaduan di kalangan umat islam yang berpecah belah sejak
kewafatan Nabi saw. Selepas wafat Nabi Muhammad saw (selaku murabbi agung),
orang-orang islam mula berpecah, bermula dari pelantikan Saidina Abu Bakar
sebagai khalifah. Ramai yang tidak bersetuju dan menubuhkan kumpulan menentang
pelantikan tersebut dengan mengatakan Saidina Ali lebih layak. Sejak dari itu
muncul kumpulan Syiah dan pecahannya.
Selepas daripada itu muncul pelbagai kumpulan yang mengaku
memperjuangkan akidah Islam seperti Jabariah, Qodariah, Muktazilah, jahmiyah
dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tidak ketinggalan kemunculan pelbagai fahaman
moden baharu berteraskan falsafah seperti bahai, Wahdatul Wujud, ateis dan sebagainya. Hari ini wujud pula pelbagai cabang pemikiran
seperti humanisme, nasionalisme, komunisme, liberalisme dan pluralisme.
Sebab utama yang membiakkan pelbagai fikrah dan fahaman
tersebut ialah penggunaan akal yang terbatas mengatasi penggunaan wahyu ilahi.
Oleh sebab itu pembinaan fikrah berdasarkan wahyu ilahi sangat penting untuk
mengembalikan semula perpaduan di kalangan umat Islam. Fikrah menggunakan logik
akal fikiran (al-Wa’yu) tidak pula menyalahi asas fikratul Islam yang telah
thabit (tetap) seperti Maqosid Syarak, mazhab (feqh), akidah dan akhlaq.
Para ulama (aktivis ilmu) perlu mengenengahkan keperluan
pembinaan fikrah samada yang bersifat lokal atau global berdasarkan ajaran
Islam. Pada hari ini, suasana persekitaran seperti globalisasi dan dasar langit
terbuka telah menyebabkan agama Islam diserang oleh pelbagai anasir buruk yang
dahulunya di anggap sebagai perbezaan pendapat biasa, atas alasan kebebasan berfikir
dan hak, mencetuskan Islamofobia dengan menuduh Islam menggalakkan keganasan,
seks dan penghinaan terhadap nabi melalui penerbitan filem dan percetakan.
Ramai orang yang tidak mengetahui kebenaran telah terpengaruh dan terpedaya
untuk menentang Islam. Oleh itu pembinaan fikrah yang benar sangat penting agar
mereka dapat mengetahui kebenaran dan tidak terpedaya atau terpengaruh dengan
anasir-anasir buruk.
Asas pembinaan fikrah yang pertama ialah kefahaman. Ia
bermula dari pendidikan asas, fardu ain dan fardu kifayah. Kefahaman yang jelas
juga mesti berpaksikan Al-Quran, as-sunnah, ijmak ulama dan qiyas (sumber Islam
yang autentik) yang telah thabit sejak zaman-berzaman. Perbezaan pendapat yang
berasal dari kepelbagaian pemikiran sebenarnya tidaklah menghalang perpaduan,
jika matlamatnya sama. Jika perbezaan pendapat itu melarat membawa kepada
kecelaruan akidah dan perpecahan, maka Islam menyarankan kita kembali kepada
Allah dan Rasul. Firman Allah: Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka
kembalilah kepada Allah dan Rasul.
Kefahaman itu disusuli pula oleh gerakerja, tindakan dan
amalan yang juga berpaksikan sumber Islam yang autentik itu. Allah juga
menyarankan kepada kita supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam sepertimana
firman Allah yang berbunyi: (Dan berpegangteguhlah kamu kepada tali Allah
kesemuanya dan jangan berpecah belah);
Kesimpulannya, adalah signifikan sekali gerakerja yang
bermula daripada pembinaan fikrah, kerana fikrah yang terbina itu membawa
kepada perpaduan yang kita cita-citakan.
~KE ARAH KEAMANAN DAN KESELAMATAN SEJAGAT