TRANSFORMASI PENDIDIKAN INFORMAL


Pendidikan informal bermaksud pendidikan di luar sekolah, iaitu bentuk pendidikan luar sedar, di mana seseorang itu secara tidak langsung dapat menggarap maklumat, memahaminya dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Isu ini kurang mendapat perhatian, oleh sebab itu, terdapat lompang-lompang atau kekurangan di negara kita, di mana media banyak memainkan peranan, sama ada media cetak atau media massa (televisyen, radio dan  internet). Di sekeliling kita, secara tidak disedari,  kita didedahkan dengan bahan-bahan bacaan seperti majalah dan suratkhabar secara terbuka ia membentuk minda dan cara berfikir. Adakah perkara ini difikirkan oleh para pemikir di Malaysia dengan serius?  Kehadirannya tidak disedari tetapi memberi impak yang kuat, membentuk pemikiran serta peribadi. Terjadinya banyak gejala sosial kerana keadaan di luar sekolah ini tidak terkawal. Bagaimana mengawalnya sebagaimana diajarkan oleh Islam dan Rasulullah saw?

Dalam persekitaran terbuka ini, adalah mustahil untuk mengawal kemasukan material ini dalam masyarakat sivil, atas alasan kebebasan hak asasi, kebebasan bersuara, kebebasan hakcetak dan sebagainya. Jika diperhalusi, material/bahan inilah yang menyumbang ke arah perubahan pemikiran yang negatif seperti anasir syiah, liberalisme, pluralisme, yahudi dan sebagainya. Perkembangan ini menjadi ancaman kepada masyakat seluruhnya, kerana akal fikiran belia dan remaja khususnya yang sepatutnya menjadi modal insan yang diharap-harapkan oleh kerajaan untuk membangunkan negara dan menjadi harapan bangsa di masa hadapan.;

Bertitik tolak daripada kebimbangan ini, dicadangkan agar kita secara kolektif bersama-sama mewujudkan persekitaran pendidikan informal yang lebih berstruktur, berpemantauan dan bermatlamat. Masyarakat tidak boleh dibiarkan lepas bebas dalam persekitaran yang rosak dan tidak sihat, akibatnya kelak akan membawa kerosakan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Perlu diadakan satu mekanisme untuk memantau keadaan agar keseluruhan menjadi lebih baik seperti mewujudkan program-program pendidikan khusus Sistem Usrah bagi tujuan pendidikan di setiap ceruk dan rantau, terutamanya di bandar-bandar. Media pula berperanan menyebarkan kandungan/pengisian usrah di radio dan televisyen. Media perlu membakar semangat belia dan masyarakat untuk menyertai usrah-usrah ini demi kebaikan bersama. Persoalannya bagaimana untuk menggalakkan keseluruhan masyarakat supaya mencintai usrah? Jika sesuatu masyarakat berkecenderungan tinggi terhadap politik, maka pengisian usrah boleh disampaikan dalam bentuk wacana politik. Yang penting ialah mesej-mesej disampaikan dengan baik kepada mereka. Di sinilah letaknya kebijaksanaan para pemimpin masyarakat dalam memandu pengikut mereka. Jangan bertumpu sangat kepada pilihanraya, sehingga habis segala kudrat dan tenaga digunakan semata-mata bagi tujuan itu.

Institusi keluarga juga harus dibina atas asas ini. Ibubapa perlu menggalakkan anak mereka menyertai usrah, dengan ibubapa itu sendiri yang menjadi role model. Terlalu “busy” tidak boleh menjadi alasan. Ibubapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak, berkomunikasi dengan mereka, mengajak mereka beraktiviti bersama. Hadis Nabi menyebut: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi.”

Sebenarnya, sistem pendidikan informal telah ditetapkan oleh Islam. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang anak telah mengenal kiri dan kanan, ajarlah dia bersembahyang“.Nabi Muhammad SAW menyuruh kita ajar anak solat sejak dari umur 7 tahun dan pukul kalau tidak solat bila umur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud).
Oleh sebab keprihatinan dan perhatian Rasulullah saw, maka persekitaran Madinah sewaktu baginda menjadi pemimpin sangat terkawal. Semua orang berasa tenang berada di Madinah, sehingga Madinah dikenali sebagai kota yang bercahaya (Madinah al-Munawwarah). Sehingga kini, suasana di Madinah masih tenang, walau dilanda arus kemodenan. Bagaimana ia terjadi? Madinah (Arab Saudi) sepatutnya di senaraikan dalam senarai bandar atau negara yang teraman di dunia di Global Peace Index, bukan di tangga ke-106 seperti pada hari ini (2012). :-(