TRANSFORMASI ILMU (part 3) - MEMBINA PSIKOLOGI DAN FIKRAH KENABIAN



Amalan membina fikrah sebenarnya telah bermula sejak pengutusan para nabi dan Rasul. Mereka mengajak manusia mengesakan Allah dan menyembahNya. Penyampaian risalah yang membina fikrah manusia telah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sepanjang 23 tahun, yang mana satu demi satu ayat Al-Quran dan hadis telah disampaikan oleh baginda kepada umat manusia. Rasul berjaya mengatasi kecelaruan akidah dan pemikiran yang berlaku pada zaman jahiliyah dan mengembalikan mereka kepada akidah yang satu.

Inilah fikrah kenabian yang dituntut oleh para daie untuk mencarinya. Pada diri nabi rasa bertuhan yang sangat tinggi, ketakwaan dan keyakinan kepada Allah mengatasi keyakinan kepada yang lain. Kita tidak boleh atau mustahil untuk menjadi nabi kerana darjatnya berbeza dengan darjat manusia biasa, akan tetapi kita dapat mencari norma-norma kehidupan yang dijalani oleh para nabi seperti rendah hati, tawaduk, zuhud, bertaqwa, sabar, ikhlas, mencintai kebaikan, mencintai ilmu, soleh dan sebagainya.

Mengapa perlu fikrah kenabian?

Antara sebab mengapa perlunya seseorang muslim atau daie itu berfikir seperti nabi ialah kerana kita dituntut mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh cintaNya. Tidak ada cara lain untuk mendekatkan diri kepada Allah selain ‘bertawasul’ atau berwasilahkan jalan ketaqwaan yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah: Katakanlah sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah aku (Nabi Muhammad) nescaya kamu dicintai Allah. Cinta Allah adalah segala-galanya di dunia. Orang yang dicintai Allah sentiasa dekat dan sayang kepada Nya. Orang yang dicintai Allah, dosanya sentiasa diampunkan apabila dipohon.

Kedua, fikrah kenabian menyelamatkan kita dari berbuat dosa.

Ketiga, fikrah kenabian membawa kepada perpaduan dan kesejahteraan hidup.

Keempat, fikrah kenabian  menyelamatkan kita dari kesesatan.

Kelima, fikrah kenabian meningkatkan darjat ketaqwaan, bukan mengasingkan kita dari manusia biasa tetapi digolongkan bersama-sama orang yang beriman dan bertaqwa.

Keenam, fikrah kenabian melayakkan kita untuk mendapat keredhaan dan syurga. Apabila kita  sentiasa berfikir mengenai agama Allah, kita akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan rohani supaya iman sentiasa tebal dalam diri dan mengelakkan diri dari melakukan maksiat.

Ketujuh, fikrah kenabian adalah ciri-ciri manusia yang mempunyai hikmah kebijaksanaan. Luqmanul Hakim adalah seorang yang bijaksana walaupun beliau bukan Nabi sehingga nama dan untaian nasihatnya terukir di dalam Al-Quran. Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta para sahabat salafussoleh adalah orang yang bijaksana kerana mempunyai fikrah kenabian ini. Fikir mereka tidak lain ialah untuk mengembangkan Islam dan mendaulatkannya, melebihi kepentingan duniawi.

Kelapan, fikrah kenabian mencerminkan akhlak yang terpuji, mendidik diri untuk sentiasa jujur dan dipercayai. Nabi Muhammad saw dikenali sebagai Al-Amin atau orang yang jujur, amanah dan dipercayai oleh masyarakat Arab. Kerana ketinggian akalbudinya maka baginda telah dilantik sebagai jurudamai dan peniaga yang berjaya.

Kesembilan, fikrah kenabian adalah sumber ilmu yang suci. Allah menganugerahkan fikrah kenabian kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga kepada sesiapa yang berusaha ke arah mensucikan diri.

Kesepuluh, fikrah kenabian adalah permata akhir zaman. Sesiapa yang berfikir atas dasar keimanan dan ketaqwaan, maka Allah menunjukkan dia kepada jalan yang lurus. Kesibukan dunia tidak menghalang dia dari mengingati Allah dan Allah sentiasa ingat kepadanya.

Bagaimana memperoleh fikrah kenabian?

Pertama, sentiasa berfikir mengenai kebesaran Allah pada makhluk, alam dan kejadian diri.
Kedua, bermohon kepada Allah agar Allah memberikan taufik dan hidayah.
Ketiga, sentiasa berzikir mengingati Allah setiap waktu dan ketika.
Keempat, mengutamakan pembacaan Al-Quran dan hadis Nabi saw serta mengambil tauladan dan pengajaran dari pembacaan Al-Quran dan hadis.
Kelima, membaca buku-buku yang membina fikrah, psikologi dan sejarah.
Keenam, terapikan diri dengan solat dan ibadah, serta istiqomah dalam melakukannya.
Ketujuh, mengasingkan diri dari berfikir mengenai keburukan orang lain dan sentiasa memikirkan mengenai kebaikan.
Dan lain-lain...

Oleh itu, adalah digalakkan kepada kita untuk mencari jalan untuk membina fikrah kenabian dalam diri sebab nabi tidak meninggalkan harta kepada kita, kecuali ilmu dan fikrah yang benar untuk keselamatan dan kebaikan di dunia dan akhirat. Berdoalah kepada Allah agar kita sentiasa mendapat rahmat, keampunan dan kebahagiaan sebagaimana rahmat keampunan dan kebahagiaan yang dianugerahkan kepada para anbiya dan solehin. Amin..