KALIMAH ALLAH DAN MAKRIFATULLAH


MAKRIFATULLAH - Suatu Dorongan Ke Arah Penyatuan Umat

Kemelut penggunaan kalimah Allah (disebabkan permintaan Guan Eng) sebenarnya memberi erti yang cukup besar dan penting jika dilihat dari sudut pandang dan kacamata ilmu Islam. Islam amat menitikberatkan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan pengenalan terhadap Allah. Mungkin isu ini boleh membuka ruang dan minda orang Islam serta bukan Islam supaya lebih mendekatkan diri kepada Allah Sang Maha Pencipta, dan Allah memperkenalkan dirinya untuk dikenali (Ibn Ataillah Askandari-kitab Hikam)

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, memperuntukkan sedikit waktu kita untuk memikirkan mengenai senario Islam dan bukan Islam di negara ini. Alangkah baiknya jika Islam dan Kristian berdamai, dalam erti kata mencari kebenaran mengenai erti kalimah Allah yang sebenar. 

Bagi umat Islam pula, marilah kita membina kesedaran melalui kehendak Allah ini untuk sama-sama bermuhasabah memperuntukkan sedikit ruang dan waktu untuk bersama memikirkan mengenai kebesaran Allah yang menciptakan kita semua. "Kullukum min aadam wa aadam min turab", kita semua dari Adam, dan Adam daripada tanah.

Bermula dari saat ini marilah kita berganding bahu untuk sama-sama mendaulatkan kalimah Allah dalam erti kata dan kehendak yang sebenar. Kehendak Allah kepada kita ialah bersatu-padu mendokong kalimah Allah yang satu: "Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur Rasulullah."

Sebelum itu, hendaklah kita mengenal Allah dengan sebenar-benar erti pengenalan. "Makrifatullah" dengan mendalam, hakikat iradah dan tarbiyah yang Allah berikan melalui kalam Nabi-nabi dan sunnah Rasulullah SAW dan Kalamullah yang diturunkan iaitu Al-Quran."Inna haazal Quran yahdi lillati hiya aqwam."

Bersempena kedatangan Maulidurrasul, marilah kita menyelami perjuangan Rasul kita dalam mendaulatkan Islam di muka ini sebagai perjuangan yang suci. Cintailah Rasul kita dengan sebenar-benar kecintaan, dan mengharapkan ridha dan mahabbah dari Allah. "Qul in kuntum tuhibbunaAllaha fattabi'uni yuhbibkumuLlah."
Sekiranya kita cinta kepada Allah dan Rasul maka turutilah Allah (Al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), supaya kita kelak sama-sama dicintai Allah.

Himpunan fatwa mengatakan tidak boleh kita membenarkan kalimah Allah diperkotak-katikkan, dalam erti tidak boleh membenarkan orang bukan Islam untuk menggunakannya dalam al-Kitab (Bible). Ini langkah yang pasti. Pastilah tidak boleh. "Lakum dinukum wa liyadin." Bagi mereka agama mereka, bagi kita agama kita.

Tapi yang lebih pasti ialah, kalimah Allah hak kita bersama. Tidak perlu bermusuh dan bertikam lidah, apatah lagi sesama Muslim hanya kerana "Tuhan" atau "Allah". Sama sahaja. "Alhamdulillahi robbil aalamin" Allah itu satu Tuhan itu satu kepada kita, iaitu yang memelihara kita dan sekalian alam. Kalimah tauhid terkandung kalimah Allah. Maka kita satu hati dan fikiran walaupun berlainan jasad. Allah mendorong kita untuk bersatu dalam satu kalimah tauhid, walau selepas itu kita berlainan pendapat dan fikiran. Itu fitrah dan rahmat bagi ummah.

Tulisan ini hanya ulasan. Harap yang membaca dapat mengambil manfaat dan iktibar. Sebaik-baik ilham, ilham Allah kepada Nabi Muhammad saw.

-alFaaqir ilaLlah-